I made this widget at MyFlashFetish.com.



I made this widget at MyFlashFetish.com.

Wednesday 29 June 2011

AKTIVITI ANAK MUDA

B
elia di Kampung Puteri Menangis biasanya terlibat dalam aktiviti di dalam kampung seperti gotong royong ketika majlis perkahwinan, bermain kompang dan beriadah pada waktu petang. Jika ada kelapangan, mereka juga akan bermain bola sepak di padang bola atau bermain futsal di gelanggang futsal yang terletak berhampiran dengan surau kampung. Secara tidak langsung, penglibatan belia di dalam aktiviti sukan ini boleh mengelakkan mereka daripada terjebak ke dalam kegiatan yang tidak berfaedah.

Ada juga segelintir golongan belia yang memilih untuk berhijrah ke bandar untuk mencari rezeki. Kemahiran dan pendidikan yang dimiliki digunakan sepenuhnya untuk meningkatkan taraf hidup masing-masing. Ada yang berhijrah ke kota Johor Bahru dan Kuala Lumpur mengikut peluang pekerjaan yang diperoleh. 

Tuesday 28 June 2011

Kampung Kita,Wajah Kita

 
K
ampung Puteri Menangis terletak dalam Mukim Sungai Pinggan dan berada di bawah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut, Johor. Ia terletak kira-kira 30 minit pemanduan dari Bandar Pontian dan 10 km dari Pekan Benut. Kampung ini juga mudah untuk ditemui kerana terletak di jalan utama Benut-Pontian dan terdapat pelbagai kemudahan pengangkutan awam seperti bas dan teksi untuk sampai ke sini.

Bagi mereka yang pertama kali datang ke Kampung Puteri Menangis, mereka pastinya akan tertarik dengan nama kampung ini yang begitu unik. Bukan sahaja namanya yang unik, malah kehidupan masyarakat di sini juga sangat disenangi oleh masyarakat sekitarnya kerana penuh dengan nilai-nila murni dan tatasusila yang masih terpelihara.

Kebanyakan penduduk kampung bekerja sendiri sebagai petani dan mengusahakan produk hasil kampung. Ini boleh dilihat dengan adanya tanaman kelapa sawit dan nanas di kiri dan kanan jalan d samping terdapat gerai-gerai kecil yang diusahakan penduduk kampung. Kunjungan ke sini pastinya berbaloi lantaran keindahan dan keseronokan yang bakal diperoleh.
Kisah Sang Puteri
M
enurut seorang penduduk, pada zaman dahulu terdapat seorang puteri yang sering kali dilihat menangis ketika berada di tepi kawasan pantai. Puteri ini dipercayai daripada keturunan bunian dan penduduk sering kali melihatnya berada dalam keadaan yang sedih. Oleh sebab peristiwa yang berlaku, maka tercetuslah nama Kampung Puteri Menangis dan ia kekal sehingga ke hari ini.

Namun, jika sang puteri datang ke kawasan sebelah darat kampung, dia kelihatan sungguh gembira dan sering tertawa. Penduduk di sini terus sahaja menamakan sebuah sekolah yang ada di sana, Sekolah Seri Senang Hati selepas melihat kejadian itu. Walaupun agak pelik, namun ia tetap menjadi sejarah yang paling diingati oleh setiap penduduk kampung terutamanya generasi awal yang menetap di sini.

Kecemerlangan dan kemajuan kampung diteruskan setelah lebih dari 50 tahun perkampungan Melayu di sini dibina. Antara pencapaian yang membanggakan ialah mendapat tempat kedua dalam Anugerah Desa Wawasan pada tahun 2004, peringkat Negeri Johor. Sumbangan dan peruntukan yang diterima digunakan sebaik mungkin oleh jawatankuasa kampung untuk menaik taraf kemudahan kampung untuk keselesaan semua.